Rabu, 30 Mac 2011

BURUNG BANGAU DENGAN KETAM

Pada zaman dahulu ada seekor bangau yang tinggal berdekatan dengan sebuah tasik yang amat besar lagi indah.  Di dalam tasik tersebut dipenuhi dengan pelbagai jenis hidupan seperti ikan, ketam, katak, kura-kura dan bermacam-macam lagi.  Memandangkan di dalam tasik tersebut terlalu banyak ikan, mudahlah  Si Bangau untuk menangkap ikan tersebut untuk dijadikan makanannya setiap hari.    Si Bangau tidak perlu pergi merayau-rayau ke tempat lain untuk mencari makanannya. 
Hari berganti hari, bulan berganti bulan.  Lama kelamaan setelah sekian lama Si Bangau hidup di situ,  ia pun semakin tua dan tidak sekuat dahulu lagi untuk menangkap ikan di tasik itu.  Kadang kala ia tidak dapat menangkap seekor ikan pun pada hari itu.  Si Bangau keletihan sambil mengenangkan badannya yang semakin lemah dan perutnya yang semakin lapar.  Si Bangau pun berfikir bagaimanakah cara untuknya meneruskan kehidupan yang begitu sukar sekali.  Tiba-tiba timbul satu idea bagaimana untuk mendapatkan makanannya dengan mudah.
Si Bangau pun berdiri tepi batu berdekatan dengan tasik itu sambil termenung  dengan wajahnya yang muram.  Kebetulan di waktu itu, ada seekor katak yang sedang melompat-lompat  untuk menuju ke arah tasik tersebut. Ia kehairanan melihat sikap Si Bangau yang sedang berdiri di tepi tasik sambil termenung.  Lantas Si Katak pun menegur Si Bangau.
Katak:  Hai Bangau, kenapa aku lihat engkau kelihatan sedih sahaja hari ini? Ada apa yang boleh aku tolong?
Si Bangau pun pura-pura terperanjat apabila Si Katak menegurnya. Ia mengangkat kepalanya dan terus menjawab dengan perasaan yang sedih sambil mengeluh.
Bangau:   Oh Katak rupanya.  Aku sedang memikirkan nasib kita semua di sini.
Katak:  Kenapa pula begitu Bangau?
Bangau:  Aku telah mendengar perbualan orang-orang di kampung sana yang mengatakan kemarau besar akan melanda di kawasan ini.  Cuba engkau fikir, bagaimanakah binatang di sini hendak hidup sekiranya air di tasik ini semakin kering dan seterusnya air di dalam tasik ini akan menjadi kering kontang.
Si Bangau berpura-pura sedih sambil kepalanya tunduk mengadap ke tanah seolah-olah sedang runsing dengan bencana yang akan melanda.
Katak:  Benarkah apa yang engkau cakap itu Bangau?
Bangau:  Buat apa aku hendak menipu engkau pula.  Semalam aku telah terbang di kampung itu, semasa aku sedang berjalan-jalan,   aku terdengar perbualan orang-orang kampung tentang kemarau besar yang akan melanda di kampung mereka termasuk di di kawasan ini.  Mereka sedang memikirkan tentang persiapan yang perlu dilakukan.
Katak:  Perkara ini tidak boleh didiamkan sahaja Bangau.  Kita perlu bertindak dan memberitahu kawan-kawan kita di sini.
Bangau:  Betul tu.  Aku rasa engkaulah yang paling sesuai memberitahu kawan-kawan kita yang berada di dalam tasik itu.
Katak:  Baiklah, aku akan  cuba.

Katak pun mulakan memberitahu semua penghuni di kolam itu agar berkumpul kerana Bangau  akan memaklumkan suatu berita yang penting.  Semua penghuni di kolam itu semuanya telah berkumpul dan tidak  sabar-sabar untuk mendengar berita yang penting itu.

Katak:  Wahai kawan-kawan sekelian, terima kasih kerana dapat menghadirkan diri dalam pertemuan ini.  Untuk makluman kawan-kawan Bangau akan memaklumkan suatu berita yang penting demi keselamatan kita semua!

Ramai-ramai:  Cakaplah Bangau, cepatlah sikit! 

Bunyi bising dan riuh rendah kedengaran kerana binatang-binatan itu tidak sabar untuk mengetahuinya.

Bangau: Sabar! Sabar...Sebenarnya aku hendak memberitahu kamu semua bahawa kemarau akan melanda kawasan kita.  Apa yang telah aku dengar perbualan manusia di kampung sana, kemarau kali ini amatlah kuat yang boleh mengakibatkan air kolam di sini akan kering kontang.

Ramai-ramai:  Apa! Benarkah cerita engkau ini Bangau? 

Bangau:  Benar dan aku sendiri mendengar perbualan mereka itu.

Semua penghuni memandang sesama sendiri. Mereka berasa gusar dan cemas jika perkara ini akan berlaku kerana semua hidupan di sini memerlukan air terutama yang hidup di dalam kolam itu seperti ikan, katak,  ketam, kura-kura dan lain-lain lagi.

Ikan:  Habis bagaimana Bangau?  Engkau ada apa-apa cadangan yang boleh membantu kami semua di sini?

Bangau berpura-pura termenung dan berfikir apakah cadangan yang baik untuk menyelamatkan kawan-kawannya. Tiba-tiba dia mengangkat kepala dan berkata kepada mereka semua.

Bangau:  Tidak jauh dari sini, ada sebuah tasik yang besar dan airnya sangat dalam.  Sekiranya berlakunya kemarau yang teruk, air tersebut tidak akan kering dan masih lagi boleh menampung kita semua.

Ketam:  Bolehkah engkau bawa kami ke sana?

Bangau:  Boleh, tapi aku ini sudah tua dan tidak mampu untuk membawa kamu kecuali hanya  membawa seekor demi seekor.

Akhirnya mereka semua pun bersetuju dengan cadangan untuk memindahkan mereka semua ke tasik itu.  Bangau memaklumkan beliau akan mengangkut ikan-ikan dahulu baharu diikuti oleh binatang yang lain pula. Bangau pun mulalah mengangkut ikan tersebut ke suatu tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa pun.   Tetapi sampai sahaja di tempat itu, dengan lahapnya Bangau itu memakan ikan tersebut.  Setelah habis ikan itu dimakan, ia pun terbang lagi ke kolam tersebut dan mengambil ikan yang lain pula.  Begitulah perbuatannya sehingga habis ikan-ikan di dalam kolam tersebut dimakannya. 
Kini tiba pula giliran Ketam pula.  Dengan senang hati Ketam membenarkan Bangau untuk membawanya ke kolam yang lebih dalam dan besar itu.  Memandangkan Ketam mempunyai sepit, dia bergantung di  leher Bangau dengan menggunakan sepitnya.  Seperti biasa Bangau pun terbang membawa Ketam ke tempat ia meratah mangsanya.  Apabila Bangau hampir hendak turun,  Ketam melihat banyak tulang-tulang ikan berserakan di kawasan itu.  Ketam merasa tidak sedap hati dan merasa mereka semua telah ditipu oleh Bangau.  Lalu ia pun berpura-pura bertanya kepada Bangau.



Ketam:  Di manakah kolam yang engkau maksudkan itu, Bangau?

Apabila Bangau mendengar soalan daripada Ketam, ia pun tergelak lalu berkata.

Bangau: Ha..hah..ha...Kali ini tibalah giliran engkau pula untuk menjadi makananku Ketam.  Sudah lama aku ingin memakan dagingmu yang manis itu!

Ketam sangat marah apabila mendengar jawapan Bangau sedemikian.  Lalu dengan kuat ia menyepit leher Bangau dengan sepitnya.  Bangau berasa sangat sakit dan menjerit sambil merayu agar ia dilepaskan dan berjanji akan membawa semula Ketam ke tasik.  Ketam tidak mempedulikan rayuan tersebut, lalu dia menyepit leher Bangau hingga terputus dua dan menyebabkan Bangau mati di situ juga.  Ketam bersyukur dan gembira kerana ia telah terselamat daripada menjadi mangsa Bangau yang jahat itu.  Ketam menyepit kepala Bangau yang terputus dua itu dan membawa pulang ke tempat asalnya.  Apabila sampai sahaja Ketam di tasik tersebut, semua kawan-kawannya kehairanan dan terperanjat melihat Ketam pulang dengan  membawa kepala Bangau itu.  Ketam pun menceritakan apa yang telah terjadi dan mereka semua mengucapkan terima kasih kepada Ketam kerana telah menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa Bangau yang kejam.

 

Khamis, 13 Januari 2011

BURUNG GAGAK DENGAN TAKAR

Pada zaman dahulu ada seekor burung gagak yang sedang kehausan.  Ketika itu cuaca sangat panas.  Matahari bersinar dengan teriknya.  Sudah beberapa hari hujan tidak turun.  Gagak terbang ke sana sini mencari kawasan yang mempunyai lopak air.  

Setelah sekian lama ia terbang, tidak juga ia berjumpa kawasan air untuk diminum. Oleh kerana sudah keletihan, gagak pun turun ke suatu tempat yang redup. Tiba-tiba gagak terlihat ada satu takar kecil  di bawah pokok dan gagak pun turun ke bawah untuk melihatnya dan mengharapkan supaya ada air dalam takar tersebut.  

Gagak:  Ehh..nampaknya ada sebuah takar  di bawah pokok tu.  Baik aku cuba melihatnya mungkin ada air di dalam takar itu.


Gagak:  Hmm...benar,  ada air di dalamnya.  Tetapi bagaimana aku boleh minum air yang berada di dalam takar ini.  Mulut takar ini panjang dan kecil pula.


Burung gagak sedang mencari air


Burung gagak berjalan-jalan untuk mencari air


Gagak: Ohhh...aku ada satu idea.  Baik aku masukkan batu-batu kecil ke dalam takar itu. Nanti paras air itu tentu akan naik ke atas. Lepas itu bolehlah aku minum air itu sepuas-puasnya.

Gagak pun mulalah  mengambil batu-batu kecil dengan menggunakan paruhnya, dan diisikan ke dalam takar tersebut. Berulang-ulang kali ia memasukkan batu-batu  kecil ke dalam takar tersebut.  

Apabila batu-batu kecil itu telah diisi ke dalam takar tersebut, menyebabkan paras air  dalam takar tersebut naik dan mudahlah gagak tersebut untuk meminumnya.   Gembiranya gagak kerana dengan ideanya itu, dapat juga akhirnya ia minum air dalam takar tersebut.   

Gagak pun minum air tersebut dengan sepuas-puasnya untuk menghilangkan dahaga.  Setelah dahaganya hilang gagak pun terbang tinggi untuk mencari makanan pula.

Daripada kesimpulan cerita ini, adik-adik hendaklah berusaha sepenuh hati dan menggunakan akal yang diberi oleh Allah sekiranya  adik berkehendakkan sesuatu...Jumpa lagi, wasalam....


Burung gagak sedang memasukkan batu-batu kecil ke dalam takar



















Jika adik-adik hendak menonton cerita Gagak Yang Cerdik terbitan Filem Negara Malaysia. sila klik di bawah ini.










ULAR SAWA TIDAK ADA BISA?

  Pada zaman dahulu ular sawa merupakan binatang yang paling berbisa.  Binatang lain tidak mempunyai bisa sebagaimana ular sawa. Ular sawa s...