Memaparkan catatan dengan label katak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label katak. Papar semua catatan

Jumaat, 27 Julai 2018

Bangau Oh Bangau


Pada zaman dahulu, semua binatang pandai berkata-kata.   Ada seekor bangau yang sedang dalam kesedihan.   Sambil dia duduk termenung, terdengar satu suara bertanyakan kepada kepadanya. 

Suara: Bangau, oh bangau!, Kenapa engkau kurus?


Maka Sang Bangau pun menjawab untuk pertanyaan itu. Sambil matanya melilau mencari siapakah yang sedang bercakap dengannya.


Bangau: Macam mana aku tak kurus,  Ikan tidak mahu timbul. Ikan tidak mahu timbul.


Suara itu pergi mencari ikan dan bertanya  kepada ikan pula untuk mendapatkan jawapan seterusnya.


Suara: Ikan Oh Ikan!, Kenapa engkau tidak timbul?


Lantas ikan pun mengintai di celah-celah rumput yang panjang di dalam air sambil menjawab soalan yang ditanya kepadanya.

Ikan :  Macam mana aku nak timbul.  Rumput panjang sangat!  Rumput panjang sangat!.

Suara itu ingin tahu pula kenapa rumput panjang sangat dan terus bertanya kepada rumput.


Suara: Rumput, oh rumput!, Kenapa panjang sangat?


Rumput terkejut mendengar suara yang bertanya kepadanya, sambil menjawab pertanyaan itu.


Rumput:  Macam mana aku tak panjang, Kerbau tak makan aku! kerbau tak makan aku!.


Suara semakin ingin tahun apa yang menyebabkan kerbau tidak mahu makan rumput.  Lalu dia pun pergi mencari kerbau dan bertanya kepada Sang Kerbau.


Suara: Kerbau oh Kerbau!  Kenapa tak mahu makan rumput?


Kerbau menoleh mencari suara itu tetapi tidak kelihatan di sekelilingnya, tetapi dia menjawab pertanyaan itu.


Kerbau:  Macam mana aku nak makan, perut aku sakit!  Perut aku sakit!.


Suara semakin ingin tahu kenapa pula kerbau sakit perut.  Lalu dia pun bertanya kepada perut kerbau.


Suara:  Perut, oh perut! Kenapa engkau sakit?


Perut kehairanan kerana ada satu suara yang tahu dia sedang sakit.  Walaupun perut sedang sakit, perut menjawab juga pertanyaan suara tersebut.


Perut:  Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah! Makan nasi mentah!.

Suara semakin ingin tahu, kenapa nasi menjadi mentah yang menyebabkan perut kerbau sakit.  Lalu ia pun pergi mencari nasi untuk bertanya  kepada nasi pula.

Suara:  Nasi, oh nasi!  Kenapa engkau mentah?



Nasi mendengar suara bertanya kepadanya dan dia mencari-cari suara itu tetapi tidak kelihatan. Nasi menjawab pertanyaan itu.


Nasi:  Macam mana aku tak mentah, api tak mahu menyala! Api tak mahu menyala!.


Suara  semakin ingin tahu kenapa pula api tidak mahu menyala pula ketika nasi sedang ditanak.  Lantar ia pun mencari Sang Api untuk bertanyakan soalan.



Suara: Api, oh api!  Kenapa engkau tidak mahu menyala?  


Api dengan sombongnya menjawab pertanyaan suara yang didengar itu walaupun matanya mencari siapakah yang bertanya kepadanya.



Api:   Macam mana aku nak nyala! Kayu api basah.  Kayu api basah!.


Suara masih lagi tidak puas hati dan ingin tahu apa yang telah berlaku.   Dia pun pergi bertanya kepada kayu api pula.

Suara:  Kayu, oh kayu! Kenapa engkau basah?


Kayu dengan sedih sambil menjawab pertanyaan suara itu.


Kayu:  Macam mana aku tak basah! Hujan timpa aku! Hujan timpa aku!


Suara semakin ingin tahu pula, kenapa hujan timpa kayu itu.


Suara:   Hujan, oh hujan! Kenapa timpa kayu?

Suara itu sudah keletihan, tetapi ingin mendapatkan jawapan selanjutnya daripada Sang Katak.

Hujan:  Macam mana aku tak timpa kayu, katak panggil aku! Katak panggil aku!.

Suara semakin tidak sabar untuk mendapatkan jawapan dan terus pergi kepada Sang Katak.

Suara:  Katak, oh Katak! Kenapa panggil hujan?


Katak  terperanjat terus melompak apabila mendengar suara itu.  Kemudian Sang Katak pun menjawab dengan terketar-ketar.

Katak:  Macam mana aku tak panggil, Ular nak makan aku! Ular dan makan aku!

Suara terperanjat mendengar jawapan katak itu dan ia terus mencari Sang Ular yang begitu kejam untuk mendapatkan jawapan seterusnya.

Suara:  Ular, oh ular! Kenapa nak makan katak?

Ular memanjangkan badannya sambil menggeliat dan mencari-cari suara yang bertanya kepadanya sambil menjawab dengan nada sombongnya.

Ular:  Macam mana aku tak makan! Memang makanan aku! Memang makanan aku!!! Ha...ha.. ha...

Akhirnya suara itu mengalah dan tahulah ia kerana itu adalah lumrah kehidupan  di dunia ini....







Rabu, 30 Mac 2011

BURUNG BANGAU DENGAN KETAM

Pada zaman dahulu ada seekor bangau yang tinggal berdekatan dengan sebuah tasik yang amat besar lagi indah.  Di dalam tasik tersebut dipenuhi dengan pelbagai jenis hidupan seperti ikan, ketam, katak, kura-kura dan bermacam-macam lagi.  Memandangkan di dalam tasik tersebut terlalu banyak ikan, mudahlah  Si Bangau untuk menangkap ikan tersebut untuk dijadikan makanannya setiap hari.    Si Bangau tidak perlu pergi merayau-rayau ke tempat lain untuk mencari makanannya. 
Hari berganti hari, bulan berganti bulan.  Lama kelamaan setelah sekian lama Si Bangau hidup di situ,  ia pun semakin tua dan tidak sekuat dahulu lagi untuk menangkap ikan di tasik itu.  Kadang kala ia tidak dapat menangkap seekor ikan pun pada hari itu.  Si Bangau keletihan sambil mengenangkan badannya yang semakin lemah dan perutnya yang semakin lapar.  Si Bangau pun berfikir bagaimanakah cara untuknya meneruskan kehidupan yang begitu sukar sekali.  Tiba-tiba timbul satu idea bagaimana untuk mendapatkan makanannya dengan mudah.
Si Bangau pun berdiri tepi batu berdekatan dengan tasik itu sambil termenung  dengan wajahnya yang muram.  Kebetulan di waktu itu, ada seekor katak yang sedang melompat-lompat  untuk menuju ke arah tasik tersebut. Ia kehairanan melihat sikap Si Bangau yang sedang berdiri di tepi tasik sambil termenung.  Lantas Si Katak pun menegur Si Bangau.
Katak:  Hai Bangau, kenapa aku lihat engkau kelihatan sedih sahaja hari ini? Ada apa yang boleh aku tolong?
Si Bangau pun pura-pura terperanjat apabila Si Katak menegurnya. Ia mengangkat kepalanya dan terus menjawab dengan perasaan yang sedih sambil mengeluh.
Bangau:   Oh Katak rupanya.  Aku sedang memikirkan nasib kita semua di sini.
Katak:  Kenapa pula begitu Bangau?
Bangau:  Aku telah mendengar perbualan orang-orang di kampung sana yang mengatakan kemarau besar akan melanda di kawasan ini.  Cuba engkau fikir, bagaimanakah binatang di sini hendak hidup sekiranya air di tasik ini semakin kering dan seterusnya air di dalam tasik ini akan menjadi kering kontang.
Si Bangau berpura-pura sedih sambil kepalanya tunduk mengadap ke tanah seolah-olah sedang runsing dengan bencana yang akan melanda.
Katak:  Benarkah apa yang engkau cakap itu Bangau?
Bangau:  Buat apa aku hendak menipu engkau pula.  Semalam aku telah terbang di kampung itu, semasa aku sedang berjalan-jalan,   aku terdengar perbualan orang-orang kampung tentang kemarau besar yang akan melanda di kampung mereka termasuk di di kawasan ini.  Mereka sedang memikirkan tentang persiapan yang perlu dilakukan.
Katak:  Perkara ini tidak boleh didiamkan sahaja Bangau.  Kita perlu bertindak dan memberitahu kawan-kawan kita di sini.
Bangau:  Betul tu.  Aku rasa engkaulah yang paling sesuai memberitahu kawan-kawan kita yang berada di dalam tasik itu.
Katak:  Baiklah, aku akan  cuba.

Katak pun mulakan memberitahu semua penghuni di kolam itu agar berkumpul kerana Bangau  akan memaklumkan suatu berita yang penting.  Semua penghuni di kolam itu semuanya telah berkumpul dan tidak  sabar-sabar untuk mendengar berita yang penting itu.

Katak:  Wahai kawan-kawan sekelian, terima kasih kerana dapat menghadirkan diri dalam pertemuan ini.  Untuk makluman kawan-kawan Bangau akan memaklumkan suatu berita yang penting demi keselamatan kita semua!

Ramai-ramai:  Cakaplah Bangau, cepatlah sikit! 

Bunyi bising dan riuh rendah kedengaran kerana binatang-binatan itu tidak sabar untuk mengetahuinya.

Bangau: Sabar! Sabar...Sebenarnya aku hendak memberitahu kamu semua bahawa kemarau akan melanda kawasan kita.  Apa yang telah aku dengar perbualan manusia di kampung sana, kemarau kali ini amatlah kuat yang boleh mengakibatkan air kolam di sini akan kering kontang.

Ramai-ramai:  Apa! Benarkah cerita engkau ini Bangau? 

Bangau:  Benar dan aku sendiri mendengar perbualan mereka itu.

Semua penghuni memandang sesama sendiri. Mereka berasa gusar dan cemas jika perkara ini akan berlaku kerana semua hidupan di sini memerlukan air terutama yang hidup di dalam kolam itu seperti ikan, katak,  ketam, kura-kura dan lain-lain lagi.

Ikan:  Habis bagaimana Bangau?  Engkau ada apa-apa cadangan yang boleh membantu kami semua di sini?

Bangau berpura-pura termenung dan berfikir apakah cadangan yang baik untuk menyelamatkan kawan-kawannya. Tiba-tiba dia mengangkat kepala dan berkata kepada mereka semua.

Bangau:  Tidak jauh dari sini, ada sebuah tasik yang besar dan airnya sangat dalam.  Sekiranya berlakunya kemarau yang teruk, air tersebut tidak akan kering dan masih lagi boleh menampung kita semua.

Ketam:  Bolehkah engkau bawa kami ke sana?

Bangau:  Boleh, tapi aku ini sudah tua dan tidak mampu untuk membawa kamu kecuali hanya  membawa seekor demi seekor.

Akhirnya mereka semua pun bersetuju dengan cadangan untuk memindahkan mereka semua ke tasik itu.  Bangau memaklumkan beliau akan mengangkut ikan-ikan dahulu baharu diikuti oleh binatang yang lain pula. Bangau pun mulalah mengangkut ikan tersebut ke suatu tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa pun.   Tetapi sampai sahaja di tempat itu, dengan lahapnya Bangau itu memakan ikan tersebut.  Setelah habis ikan itu dimakan, ia pun terbang lagi ke kolam tersebut dan mengambil ikan yang lain pula.  Begitulah perbuatannya sehingga habis ikan-ikan di dalam kolam tersebut dimakannya. 
Kini tiba pula giliran Ketam pula.  Dengan senang hati Ketam membenarkan Bangau untuk membawanya ke kolam yang lebih dalam dan besar itu.  Memandangkan Ketam mempunyai sepit, dia bergantung di  leher Bangau dengan menggunakan sepitnya.  Seperti biasa Bangau pun terbang membawa Ketam ke tempat ia meratah mangsanya.  Apabila Bangau hampir hendak turun,  Ketam melihat banyak tulang-tulang ikan berserakan di kawasan itu.  Ketam merasa tidak sedap hati dan merasa mereka semua telah ditipu oleh Bangau.  Lalu ia pun berpura-pura bertanya kepada Bangau.



Ketam:  Di manakah kolam yang engkau maksudkan itu, Bangau?

Apabila Bangau mendengar soalan daripada Ketam, ia pun tergelak lalu berkata.

Bangau: Ha..hah..ha...Kali ini tibalah giliran engkau pula untuk menjadi makananku Ketam.  Sudah lama aku ingin memakan dagingmu yang manis itu!

Ketam sangat marah apabila mendengar jawapan Bangau sedemikian.  Lalu dengan kuat ia menyepit leher Bangau dengan sepitnya.  Bangau berasa sangat sakit dan menjerit sambil merayu agar ia dilepaskan dan berjanji akan membawa semula Ketam ke tasik.  Ketam tidak mempedulikan rayuan tersebut, lalu dia menyepit leher Bangau hingga terputus dua dan menyebabkan Bangau mati di situ juga.  Ketam bersyukur dan gembira kerana ia telah terselamat daripada menjadi mangsa Bangau yang jahat itu.  Ketam menyepit kepala Bangau yang terputus dua itu dan membawa pulang ke tempat asalnya.  Apabila sampai sahaja Ketam di tasik tersebut, semua kawan-kawannya kehairanan dan terperanjat melihat Ketam pulang dengan  membawa kepala Bangau itu.  Ketam pun menceritakan apa yang telah terjadi dan mereka semua mengucapkan terima kasih kepada Ketam kerana telah menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa Bangau yang kejam.

 

ULAR SAWA TIDAK ADA BISA?

  Pada zaman dahulu ular sawa merupakan binatang yang paling berbisa.  Binatang lain tidak mempunyai bisa sebagaimana ular sawa. Ular sawa s...