Memaparkan catatan dengan label Harimau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harimau. Papar semua catatan

Rabu, 28 April 2010

KUCHING DENGAN HARIMAU

Pada zaman dahulu dipercayai kuching dan harimau merupakan kawan karib. Dimana ada harimau, disitulah juga akan adanya kuching. Persahabatan mereka berdua memang diketahui oleh semua penghuni di hutan itu.

Pada suatu hari kuching sedang mengintai seekor tikus yang sedang menyorok di dalam sebuah lubang berhampiran busut di tepi hutan. Dari jauh kelihatan seekor Serigala yang besar sedang berlegar-legar di tepi hutan sedang mencari makanan. Tiba-tiba Serigala itu terlihat Kuching sedang merangkak-rangkak di tepi busut yang cuba untuk menangkap tikus. Kuching terasa ia sedang diperhatikan. Ia pun memandang di sekelilingnya, kelihatan Serigala sedang merenungnya dengan air liurnya meleleh di mulutnya. Serigala merasakan inilah makanannya untuk hari itu. Apabila kuching ternampak Serigala yamag sedang memerhatikannya, ia pun terus berlari sekuat-kuat hatinya. Pada ketika itu Harimau berada agak jauh dari Kuching. Serigala berlari ke arah kuching untuk menangkapnya kerana kerana pagi itu ia belum lagi menjamah sebarang makanan. Semasa kuching berlari untuk menyelamatkan dirinya, ia terlihat sebatang pokok di hadapannya. Tanpa berlengah lagi, ia terus memanjat pokok tersebut sehingga sampai ke dahan yang agak tinggi. Apabila Serigala sampai sahaja di bawah pokok itu, ia melihat kuching telah pun berada di atas pokok sambil duduk di dahan yang tinggi. Apa yang boleh dibuat oleh Serigala hanyalah menyalak sahaja untuk menakutkan kuching itu. Harimau melihat kejadian yang berlaku. Harimau juga dapat melihat bagaimana Kuching boleh memanjat pokok yang tinggi itu dengan cepat dan cekap. Ia berasa amat kagum dengan kepandaian Kuching memanjat pokok itu. Ia bergegas berlari ke arah Serigala untuk menyelamatkan kawannya Kuching.

Harimau menjadi marah kerana Serigala ingin membunuh kawan baiknya, Kuching. Harimau itu mengaum dan berlari mengejar Serigala itu. Serigala terperanjat apabila terdengar ngauman Harimau. Ia terus berlari masuk ke dalam hutan meninggalkan Kuching yang masih lagi berada di atas pokok.

Apabila Kuching merasakan dirinya telah terselamat, ia pun terus turun dari pokok tersebut. Kuching mengucapkan terima kasih kepada Harimau kerana telah menyebabkan Serigala itu lari ke dalam hutan. Terdetik di hati Harimau untuk meminta Kuching mengajarnya bagaimana memanjat pokok. Ada perasaan malu untuk bertanya kerana walaupun ia digelar Raja Rimba tapi masih ada kekurangan di dalam dirinya. Akhirnya ia bersuara juga.

Harimau : "Hai Kuching, pandai sungguh engkau memanjat pokok. Bolehkah engkau mengajarku memanjat pokok?

Kuching menjawab : "Boleh Harimau, apa salahnya. Tapi buat apa engkau hendak belajar memanjat pokok?"

Harimau: "Manalah tahu sekiranya ada musuhku yang ingin menangkap aku nanti".

Kuching: "Adakah binatang lain yang berani menentangmu?

Harimau: "Ada, Singa juga merupakan musuh utamaku".

kuching: "Ohh...Kalau begitu baiklah. Mari kuajar bagaimana untuk memanjat pokok".

Kuching pun mengajar Harimau bagaimana untuk memanjat pokok. Akhirnya berjaya juga Harimau sampai di atas pokok itu. Sampai sahaja Harimau di atas pokok tersebut, Kuching pun terus turun ke bawah kerana tempat di atas pokok tersebut menjadi sempit memandangkan saiz Harimau yang sangat besar.

Kuching: "Wah! Harimau, engkau sudah pandai memanjat pokok. Sekarang engkau turunlah dari pokok itu".

Harimau: "Bagaimana aku hendak turun dari pokok ini. Engkau belum lagi mengajarku bagaimana hendak turun".

Kuching: "Bagaimana aku hendak mengajar engkau turun, aku tidak dapat berada bersama-sama dengan engkau kerana di atas itu sempit".

Harimau: "Habis, bagaimana aku hendak turun dari pokok ini?"

Kuching: "Bukannya susah, engkau terjun sahajalah seperti yang aku lakukan tadi"

Harimau: "Aku takut hendak turunlah, kerana badanku besar dan pokok ini pun agak tinggi".

Kuching: "Ah...turun sajalah Harimau, Takkan engkau hendak duduk di atas pokok itu selama-lamanya".

Harimau menjadi marah kerana sikap Kuching yang tidak mahu naik ke atas pokok untuk mengajarnya turun dari pokok itu. Berkali-kali Harimau menyuruhnya naik ke atas, tetapi Kuching masih tidak lagi mahu naik ke atas kerana ruangnya untuk naik ke atas pokok itu terlalu sempit. Harimau mula naik angin atas sikap Kuching yang tidak acuh untuk mengajarnya.

Harimau: Hai Kuching, mulai hari ini aku bukan lagi kawan baikmu. Jika aku berjumpa denganmu atau keturunanmu nescaya aku akan baham kamu sehingga tiada lagi daging melekat pada tulangmu".

Apabila Kuching melihat Harimau terlalu marah kepadanya, ia pun berlari sekuat-kuat hatinya ke dalam hutan meninggalkan Harimau yang masih lagi berada di atas pokok. Ia ingin pergi jauh dari situ agar tidak berjumpa lagi dengan Harimau. Matahari semakin tinggi, Harimau berasa takut untuk turun ke bawah. Akhirnya Harimau nekad dan mencuba juga untuk turun ke bawah. Ia pun terus terjun dari pokok tersebut. Memandangkan badannya yang berat dan besar, semasa ia terjun kakinya terseliuh dan luka-luka. Harimau juga tidak dapat mengejar Kuching kerana kakinya telah tercedera. Ia berjanji kepada dirinya sekiranya ia berjumpa Kuching atau keturunannya, ia akan membunuh mereka semua.

Sejak dari itu, apabila Kuching membuang najis tentu ia akan mengkambuskan najisnya dengan tanah supaya Harimau tidak dapat mengesan kedudukannya atau menjejakinya. Wasalam.

ULAR SAWA TIDAK ADA BISA?

  Pada zaman dahulu ular sawa merupakan binatang yang paling berbisa.  Binatang lain tidak mempunyai bisa sebagaimana ular sawa. Ular sawa s...