Rabu, 30 Mac 2011

BURUNG BANGAU DENGAN KETAM

Pada zaman dahulu ada seekor bangau yang tinggal berdekatan dengan sebuah tasik yang amat besar lagi indah.  Di dalam tasik tersebut dipenuhi dengan pelbagai jenis hidupan seperti ikan, ketam, katak, kura-kura dan bermacam-macam lagi.  Memandangkan di dalam tasik tersebut terlalu banyak ikan, mudahlah  Si Bangau untuk menangkap ikan tersebut untuk dijadikan makanannya setiap hari.    Si Bangau tidak perlu pergi merayau-rayau ke tempat lain untuk mencari makanannya. 
Hari berganti hari, bulan berganti bulan.  Lama kelamaan setelah sekian lama Si Bangau hidup di situ,  ia pun semakin tua dan tidak sekuat dahulu lagi untuk menangkap ikan di tasik itu.  Kadang kala ia tidak dapat menangkap seekor ikan pun pada hari itu.  Si Bangau keletihan sambil mengenangkan badannya yang semakin lemah dan perutnya yang semakin lapar.  Si Bangau pun berfikir bagaimanakah cara untuknya meneruskan kehidupan yang begitu sukar sekali.  Tiba-tiba timbul satu idea bagaimana untuk mendapatkan makanannya dengan mudah.
Si Bangau pun berdiri tepi batu berdekatan dengan tasik itu sambil termenung  dengan wajahnya yang muram.  Kebetulan di waktu itu, ada seekor katak yang sedang melompat-lompat  untuk menuju ke arah tasik tersebut. Ia kehairanan melihat sikap Si Bangau yang sedang berdiri di tepi tasik sambil termenung.  Lantas Si Katak pun menegur Si Bangau.
Katak:  Hai Bangau, kenapa aku lihat engkau kelihatan sedih sahaja hari ini? Ada apa yang boleh aku tolong?
Si Bangau pun pura-pura terperanjat apabila Si Katak menegurnya. Ia mengangkat kepalanya dan terus menjawab dengan perasaan yang sedih sambil mengeluh.
Bangau:   Oh Katak rupanya.  Aku sedang memikirkan nasib kita semua di sini.
Katak:  Kenapa pula begitu Bangau?
Bangau:  Aku telah mendengar perbualan orang-orang di kampung sana yang mengatakan kemarau besar akan melanda di kawasan ini.  Cuba engkau fikir, bagaimanakah binatang di sini hendak hidup sekiranya air di tasik ini semakin kering dan seterusnya air di dalam tasik ini akan menjadi kering kontang.
Si Bangau berpura-pura sedih sambil kepalanya tunduk mengadap ke tanah seolah-olah sedang runsing dengan bencana yang akan melanda.
Katak:  Benarkah apa yang engkau cakap itu Bangau?
Bangau:  Buat apa aku hendak menipu engkau pula.  Semalam aku telah terbang di kampung itu, semasa aku sedang berjalan-jalan,   aku terdengar perbualan orang-orang kampung tentang kemarau besar yang akan melanda di kampung mereka termasuk di di kawasan ini.  Mereka sedang memikirkan tentang persiapan yang perlu dilakukan.
Katak:  Perkara ini tidak boleh didiamkan sahaja Bangau.  Kita perlu bertindak dan memberitahu kawan-kawan kita di sini.
Bangau:  Betul tu.  Aku rasa engkaulah yang paling sesuai memberitahu kawan-kawan kita yang berada di dalam tasik itu.
Katak:  Baiklah, aku akan  cuba.

Katak pun mulakan memberitahu semua penghuni di kolam itu agar berkumpul kerana Bangau  akan memaklumkan suatu berita yang penting.  Semua penghuni di kolam itu semuanya telah berkumpul dan tidak  sabar-sabar untuk mendengar berita yang penting itu.

Katak:  Wahai kawan-kawan sekelian, terima kasih kerana dapat menghadirkan diri dalam pertemuan ini.  Untuk makluman kawan-kawan Bangau akan memaklumkan suatu berita yang penting demi keselamatan kita semua!

Ramai-ramai:  Cakaplah Bangau, cepatlah sikit! 

Bunyi bising dan riuh rendah kedengaran kerana binatang-binatan itu tidak sabar untuk mengetahuinya.

Bangau: Sabar! Sabar...Sebenarnya aku hendak memberitahu kamu semua bahawa kemarau akan melanda kawasan kita.  Apa yang telah aku dengar perbualan manusia di kampung sana, kemarau kali ini amatlah kuat yang boleh mengakibatkan air kolam di sini akan kering kontang.

Ramai-ramai:  Apa! Benarkah cerita engkau ini Bangau? 

Bangau:  Benar dan aku sendiri mendengar perbualan mereka itu.

Semua penghuni memandang sesama sendiri. Mereka berasa gusar dan cemas jika perkara ini akan berlaku kerana semua hidupan di sini memerlukan air terutama yang hidup di dalam kolam itu seperti ikan, katak,  ketam, kura-kura dan lain-lain lagi.

Ikan:  Habis bagaimana Bangau?  Engkau ada apa-apa cadangan yang boleh membantu kami semua di sini?

Bangau berpura-pura termenung dan berfikir apakah cadangan yang baik untuk menyelamatkan kawan-kawannya. Tiba-tiba dia mengangkat kepala dan berkata kepada mereka semua.

Bangau:  Tidak jauh dari sini, ada sebuah tasik yang besar dan airnya sangat dalam.  Sekiranya berlakunya kemarau yang teruk, air tersebut tidak akan kering dan masih lagi boleh menampung kita semua.

Ketam:  Bolehkah engkau bawa kami ke sana?

Bangau:  Boleh, tapi aku ini sudah tua dan tidak mampu untuk membawa kamu kecuali hanya  membawa seekor demi seekor.

Akhirnya mereka semua pun bersetuju dengan cadangan untuk memindahkan mereka semua ke tasik itu.  Bangau memaklumkan beliau akan mengangkut ikan-ikan dahulu baharu diikuti oleh binatang yang lain pula. Bangau pun mulalah mengangkut ikan tersebut ke suatu tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa pun.   Tetapi sampai sahaja di tempat itu, dengan lahapnya Bangau itu memakan ikan tersebut.  Setelah habis ikan itu dimakan, ia pun terbang lagi ke kolam tersebut dan mengambil ikan yang lain pula.  Begitulah perbuatannya sehingga habis ikan-ikan di dalam kolam tersebut dimakannya. 
Kini tiba pula giliran Ketam pula.  Dengan senang hati Ketam membenarkan Bangau untuk membawanya ke kolam yang lebih dalam dan besar itu.  Memandangkan Ketam mempunyai sepit, dia bergantung di  leher Bangau dengan menggunakan sepitnya.  Seperti biasa Bangau pun terbang membawa Ketam ke tempat ia meratah mangsanya.  Apabila Bangau hampir hendak turun,  Ketam melihat banyak tulang-tulang ikan berserakan di kawasan itu.  Ketam merasa tidak sedap hati dan merasa mereka semua telah ditipu oleh Bangau.  Lalu ia pun berpura-pura bertanya kepada Bangau.



Ketam:  Di manakah kolam yang engkau maksudkan itu, Bangau?

Apabila Bangau mendengar soalan daripada Ketam, ia pun tergelak lalu berkata.

Bangau: Ha..hah..ha...Kali ini tibalah giliran engkau pula untuk menjadi makananku Ketam.  Sudah lama aku ingin memakan dagingmu yang manis itu!

Ketam sangat marah apabila mendengar jawapan Bangau sedemikian.  Lalu dengan kuat ia menyepit leher Bangau dengan sepitnya.  Bangau berasa sangat sakit dan menjerit sambil merayu agar ia dilepaskan dan berjanji akan membawa semula Ketam ke tasik.  Ketam tidak mempedulikan rayuan tersebut, lalu dia menyepit leher Bangau hingga terputus dua dan menyebabkan Bangau mati di situ juga.  Ketam bersyukur dan gembira kerana ia telah terselamat daripada menjadi mangsa Bangau yang jahat itu.  Ketam menyepit kepala Bangau yang terputus dua itu dan membawa pulang ke tempat asalnya.  Apabila sampai sahaja Ketam di tasik tersebut, semua kawan-kawannya kehairanan dan terperanjat melihat Ketam pulang dengan  membawa kepala Bangau itu.  Ketam pun menceritakan apa yang telah terjadi dan mereka semua mengucapkan terima kasih kepada Ketam kerana telah menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa Bangau yang kejam.

 

ULAR SAWA TIDAK ADA BISA?

  Pada zaman dahulu ular sawa merupakan binatang yang paling berbisa.  Binatang lain tidak mempunyai bisa sebagaimana ular sawa. Ular sawa s...