Jumaat, 12 November 2010

KANCIL DENGAN BUAYA!

Di suatu pagi yang cerah, kelihatan Sang Kancil sedang berjalan-jalan mencari makan.  Semasa ia sedang mencari mencari pucuk-pucuk muda untuk dimakan, kebanyakan pucuk-pucuk muda di sekelilingnya semuanya telah dimakan oleh binatang yang lain.  Tiba-tiba Ia terpandanag di seberang sungai tempat ia berdiri terdapat banyak tumbuhan pucuk daun muda yang masih belum diusik lagi.  Terliur rasanya untuk ia menikmati pucuk daun muda itu.

Sang Kancil berfikir bagaimana caranya agar ia dapat menyeberang sungai tersebut supaya ia dapat menikmati pucuk-pucuk daun muda itu.  Tetapi yang menjadi masalah kepadanya terdapat banyak buaya dalam sungai tersebut dan sedang terapung di permukaan sungai menunggu mangsanya.  Tiba-tiba ia mempunyai satu idea yang boleh membantunya untuk bmenyeberang sungai itu.  Sang Kancil pun menghampiri tebing sungai yang agak tinggi dan bersuara dengan kuat.

Sang Kancil :  Perhatian! Perhatian! Wahai Sang Buaya semua!  Wahai Sang Buaya Semua!  Sila berkumpul di sini!.

Semua Sang Buaya memandang ke arah Sang Kancil dan berasa kehairanan di atas sikap Sang Kancil yang tidak takut dengan mereka.  Semua Sang Buaya menghampiri ke arah Sang Kancil dan salah seekor Sang Buaya terus berkata dengan sombongnya.

Sang Buaya : Wahai Sang Kancil, berani kamu memanggil kami ke mari.  Tidak takutkah kamu akan kami? Jika kamu menghampiri kami, kami akan makan kamu dengan cepat sekali.

Sang Kancil:  Wahai Sang Buaya yang berada di dalam sungai ini. Aku telah mendapat satu perintah dari Nabi Sulaiman.  Tidakkah kamu tahu Nabi Sulaiman telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t bahawa beliau merupakan satu-satunya nabi yang boleh bertutur dengan semua binatang-binatang!

Sang Buaya:  Apakah arahan yang kamu dapat dari Nabi Sulaiman itu?

Sang Kancil:  Nabi Sulaiman telah memerintahkan aku untuk mengira berapakah jumlah buaya di dalam sungai ini.

Sang Buaya:  Mengapakah Nabi Sulaiman memerintahkan kepada kamu untuk mengira kami semua?

Sang Kancil :  Nabi Sulaiman ingin memberikan hadiah kepada kamu semua.  Oleh itu, beliau menyuruh aku mengira berapakah jumlah kamu semua agar kamu semua mendapat hadiah itu nanti.

Semua Sang Buaya berkumpul dan bermesyuarat sesama mereka.  Tidak lama kemudian salah satu Sang Buaya pun menghampiri kepada Sang Kancil.

Sang Buaya:  Baiklah, jika benar perintah itu datangnya daripada Nabi Sulaiman, kami semua menurut apa yang telah diarahkan.

Kemudian Sang Buaya itu bersuara dengan kuat kepada semua buaya yang ada di sungai itu.

Sang Buaya:  Wahai buaya semua, mari kita semua beratur agar mudah Sang Kancil untuk mengira berapakah jumlah bilangan kita semua.

Maka semua buaya-buaya itu berhimpit-himpit dan berbaris agar mudah Sang Kancil untuk mengira mereka semua. Dengan cepat Sang Kancil pun turun dari tebing dan memijak di belakang setiap harimau itu sambil mengira.

Sang Kancil: Satu, dua, tiga lekuk, jantan betina aku ketuk. Empat, lima, enam lekuk....




Begitulah yang dilakukan oleh Sang Kancil mengira jumlah semua buaya itu sambil mengetuk kepala mereka sehinggalah ia sampai di tebing di sebelah sana. Apabila ia sampai sahaja di tebing di seberang sungai itu, dengan cepat ia melompat naik ke atas tebing sungai dengan perasaan yang gembira kerana  ia akan dapat menikmati pucuk-pucuk muda di kawasan itu.

Sang Kancil: Wahai Sang Buaya semua! Terima kasih kerana memberiku laluan untuk aku menyeberang di sungai ini. Sebenarnya aku telah menipu kamu semua dan tidak ada sebarang perintah pun dari Nabi Sulaiman kepadaku.

Semua Sang Buaya berpandangan dan marah kerana Sang Kancil berani menipu mereka sedangkan ia hanya seekor binatang yang kecil dan lemah.

Sang Buaya: Cis, Sang Kancil! berani kamu menipu kami semua. Nanti jika kamu hendak menyeberang sungai ini lagi, kami akan memakan kamu ..Tunggulah nanti..

Sang Kancil meneruskan perjalanannya untuk mengisi perutnya yang sudah lapar itu. Dalam hatinya berjanji, ia akan berhati-hati agar tidak berjumpa lagi dengan Sang Buaya.

Adik-adik, jangan suka bermain api..nanti memakan diri..jika adik-adik ingin menonton cerita terbitan dari Filem Negara Malaysia, klik di bawah ini.





Rabu, 10 November 2010

BURUNG MERAK DENGAN BURUNG GAGAK

Pada zaman dahulu dipercayai semua bulu binatang berwarna putih. Mereka semua sentiasa hidup dalam keadaan yang aman damai. Burung Merak dan Burung Gagak merupakan kawan baik. Dimana ada Burung Merak sudah semestinya di situ juga ada Burung Gagak.

Pada suatu hari Burung Merak dan Burung Gagak berjalan-jalan dan merayau-rayau sehingga sampai di satu padang. Di kawasan itu dipenuhi dengan pelbagai bunga-bungaan yang berwarna-warni menghiasi padang tersebut. Burung Merak dan Burung Gagak terpegun dan terpesona melihat keindahan bunga-bungaan yang pelbagai warna itu.

Tiba-tiba timbul perasaan di hati Burung Merak untuk mewarnakan bulunya. Beliau pun berkata kepada kawannya Burung Gagak.

Burung Merak: Wahai Burung Gagak, cantik sungguh pemandangan di sini. Bermacam-macam warna bunga yang tumbuh menghiasi padang ini.

Burung Gagak:  Betul itu Burung Merak.  Semua warna dan jenis bunga terdapat di sini.  Lihat bunga mawar di sana tu,  ada yang berwarna merah, warna kuning, warna oren dan bermacam-macam lagi.

Burung Merak:  Oh ya... Burung Gagak, Sekiranya bulu kita ini diwarnakan dengan warna-warna bunga itu, tentu bulu kita nampak cantik, kan!  Bagaimana cadangan aku itu?  Engkau setuju tak?

Burung Gagak:  Ya...Bagus betul cadangan engkau itu Burung Merak.  Aku pun suka juga sekiranya kita warnakan bulu kita ini. Nanti semua binatang lain akan terpegun melihat kita berdua.

Burung Merak:  Ohhh,!...Aku sudah tidak sabar lagilah   untuk warna bulu kita ini.  Jom! kita petik bunga-bunga itu.

Burung Gagak:  Jom!...aku pun sudah tidak sabar lagi ni....

Berebut-rebut Burung Merak dan Burung Gagak memetik pelbagai bunga yang berwarna-warni itu untuk mewarnakan bulu mereka masing-masing. Setelah masing-masing sudah mempunyai warna yang mereka kehendaki, mereka pun berhenti rehat di tepi sebatang sungai.

Burung Merak:  Hai Burung Gagak, bolehkah engkau mewarnakan bulu aku ini dahulu. Tidak sabar pula aku untuk menjadikan bulu aku ini cantik dan berwarna-warni.

Burung Gagak:  Baiklah Burung Merak. Tetapi dengan syarat.  Selepas aku mewarnakan bulu engkau, lepas itu engkau pula mewarnakan bulu aku pula.

Burung Merak:  Baiklah Burung Gagak. Aku berjanji,  selepas engkau mewarnakan bulu aku ini, aku akan mewarnakan bulu engkau itu.

Burung Gagak pun mulalah mewarnakan bulu Burung Merak dengan tekun dan berhati-hati agar bulu Burung Merak akan kelihatan cantik sekali. Ia mewarnakan bulu Burung Merak dengan pelbagai warna. Di dalam hatinya berkata selepas ini tentu Burung Merak juga akan mewarnakan bulunya dengan cantik juga. Setelah sekian lama, akhirnya siap bulu Burung Merak diwarnakan. Burung Gagak kepenatan. Cepat-cepat Burung Merak melihat badannya sambil melebarkan ekornya.



Burung Merak: Ohhh! Cantiknya bulu aku ini. Terima kasih Burung Gagak. Pandainya engkau mewarnakan bulu aku dengan pelbagai warna dan corak.

Burung Gagak: Ya..sama-sama. Hai Burung Merak, aku berasa sangat laparlah kerana terlalu lama aku mewarnakan bulu engkau itu.

Burung Merak:  Baiklah Burung Gagak. Pergilah makan dahulu. Nanti bila engkau balik, aku pula akan mewarnakan bulu engkau itu.

Maka dengan cepat Burung Gagak pergi untuk mencari makan untuk mengisi perutnya yang sangat lapar. Burung Merak pula terus mengembangkan ekornya sambil melihat bulunya yang sangat cantik itu. Ia merasa sangat gembira dan bangga kerana mempunyai bulu yang sangat cantik.  Ia mula berfikir tentu binatang lain akan memuji akan bulunya yang cantik itu. Maka timbul perasaan dengki di hati Burung Merak.  Sekiranya warna bulu Burung Gagak juga kelihatan cantik, bukan dirinya seorang akan menjadi tumpuan tetapi Burung Gagak juga akan menjadi tumpuan binatang-binatang yang lain.


Tidak beberapa lama kemudian, Burung Gagak pun kembali semula dari mencari makan.  Dia pun meminta agar Burung Merak mewarnakan bulunya pula agar ia juga akan kelihatan cantik.

burung merak - gambar ini diambil oleh anakku semasa melawat di Taman Burung, Kuala Lumpur.


Burung Gagak:  Hai Burung Merak.  Sekarang bolehlah engkau mewarnakan bulu aku pula.

Burung Merak:  Baiklah, Burung Gagak.  Sementara aku warnakan bulu engkau itu, engkau tidurlah jika engkau kepenatan.

Burung Gagak.  Baiklah.

Burung Gagak yang kepenatan kerana mewarnakan bulu Burung Merak itu tadi, akhirnya tertidur.  Semasa ia tertidur itu, Burung Merak telah mencampurkan semua bunga-bunga kepunyaan Burung Gagak itu dan akhirnya warna itu menjadi warna hitam.  Kemudian warna itu dilumurkan di setiap bulu Burung Gagak tanpa pengetahuannya.  Setelah siap bulu Burung Gagak diwarnakan, akhirnya Burung Gagak pun terjaga dari tidurnya.

Burung Gagak:  Sudah siapkah hai Burung Merak?

Burung Merak:  Sudah..bagaimana dengan warna ini?  Engkau suka tak?

Burung Gagak:  Ehh...Kenapa semua buluku diwarnakan dengan warna hitam?


burung gagak


Burung Merak:  Eloklah bulu engkau diwarnakan dengan warna hitam.  Jika engkau memakan bangkai di tempat kotor, bulu engkau masih lagi kelihatan bersih.

Burung Gagak sangat marah di atas sikap Burung Merak yang tidak berterima kasih kerana ia telah membuatkan bulu Burung Merak kelihatan cantik, tetapi Burung Merak tidak berbuat demikian.

Burung Gagak:  Cis! Sampai hati engkau berbuat demikian.  Jika beginilah sikap engkau, aku tidak mahu lagi berkawan dengan engkau buat selamanya.



Maka Burung Gagak pun terbang tinggi meninggalkan Burung Merak kesaorangan di situ.  Sejak dari itulah, Burung Gagak dan Burung Merak tidak menjadi kawan baik.  Adik-Adik, Ibu berharap adik-adik jangan bersikap seperti Burung Merak yang hanya mementingkan diri sendiri sahaja.  Sekiranya orang berbuat baik dengan adik-adik, hendaklah adik-adik berbuat baik juga dengan mereka.  Jumpa lagi di cerita yang lain pula. Wasalam.

ULAR SAWA TIDAK ADA BISA?

  Pada zaman dahulu ular sawa merupakan binatang yang paling berbisa.  Binatang lain tidak mempunyai bisa sebagaimana ular sawa. Ular sawa s...